Flora dan Fauna


SABAH PELINDUNG FLORA DAN FAUNA TERANCAM

Sabah atau dikenali sebagai 'Negeri Di Bawah Bayu' terletak di bahagian utara kepulauan Borneo. Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dengan keluasan daratan lebih kurang 7.37 juta hektar.  Sabah adalah negeri yang bebas dari ancaman ribut taufan dengan iklim khatulistiwa. Sabah amat dipengaruhi oleh angin monsun Timur Laut yang melanda dari November hingga Februari serta angin monsun Barat Daya dari Mei hingga Ogos.


Sabah memiliki kepelbagaian haiwan dan tumbuhan yang menakjubkan.  Keadaan ini berpunca daripada keadaan ekologinya yang stabil yang membolehkan banyak spesis baru berevolusi.  Terdapat lebih daripada 3,000 spesis pokok asli di Sabah. Pada masa kini, hutan Sabah melitupi kawasan lebih kurang 4.7 juta hektar, atau lebih kurang 63% dari jumlah keluasan tanahnya, termasuk hutan-hutan simpan, tanah negeri dan juga taman-taman.


KEPUPUSAN FLORA DAN FAUNA 

Di Sabah, terdapat beberapa kawasan yang mempunyai tumbuhan yang mengagumkan  namun, kebanyakan kawasan ini adalah dilindungi untuk mengelakkan spesis unik ini daripada pupus. 

FLORA




 Antara flora yang terancam adalah Periuk Kera, yang mana sekurang-kurangnya terdapat 9 spesis yang ditemui di Gunung Kinabalu sahaja.  Periuk Kera sebenarnya adalah tumbuhan istimewa yang mempunyai cecair melekit yang mana serangga yang jatuh akan terperangkap di dalam 'lubang', dan seterusnya membekalkan nutrien kepada tumbuhan tersebut yang tumbuh di kawasan tanah yang kurang subur. 



Hutan Sabah juga merupakan habitat asal bagi bunga yang terbesar di dunia, Rafflesia.  Bunga ini boleh mencapai berat 2 kg jika mengembang penuh. Bunga ini selalunya berbau busuk untuk menarik serangga seperti lalat untuk tujuan pendebungaan.  Rafflesia merupakan tumbuhan parasit yang tidak mempunyai sebarang daun, dan hanya menggunakan akar  Tetrastigma untuk menyerap zat makanan. 




Pokok komersil dari jenis  Dryobalanops atau Kapur misalnya telah lenyap dari India dan beberapa negara lain yang terdedah kepada perubahan persekitaran, tetapi masih lagi wujud di Sabah. 




FAUNA

Salah satu fauna yang terancam adalah proboscis monkey atau Monyet Belanda kerana bulunya yang kemerahan dan hidungnya yang panjang.  Haiwan pemalu ini hanya terdapat di kepulauan Borneo dan hidup berkumpulan di kawasan hutan bakau sepanjang pantai Sabah dan di tebing sungai.






Salah  satu haiwan yang menarik tetapi terancam adalah Kongkang atau “slow loris“. Haiwan ini bergerak perlahan serta bermata besar. Kongkang adalah sejenis haiwan primat dan biasanya tinggal di atas pokok dan memakan haiwan kecil serta buah-buahan. 


Haiwan unik ini hidup di kedua-dua kawasan hutan primer dan sekunder, kawasan tinggi dan rendah. Tarsier, sejenis lagi primat, atau dikenali sebagai Kera Hantu di kalangan penduduk tempatan, disebabkan tabiatnya yang keluar hanya pada waktu malam serta kelakuannya yang agak ganjil.



Haiwan-haiwan lain yang tergolong dalam kumpulan primat ini adalah Orang Utan, Gibbon dan juga monyet ekor panjang. 

Badak Sumatera adalah haiwan yang jarang kelihatan dan hampir pupus. Haiwan ini boleh ditemui di kawasan hutan di timur Sabah yang mana merupakan salah satu kawasan di mana badak ini terlindung dari pemburu haram dan pembukaaan kawasan untuk perladangan.  Badak Sumatera ialah spesis mamalia yang telah hidup lama di dunia dan telah wujud lebih dari 30 juta tahun lalu.  Kerajaan Negeri Sabah telah memperuntukkan  dua kawasan hutan iaitu Hutan Simpan Tabin dan Lembah Danum sebagai langkah untuk menyelamatkan mamalia ini dari pupus.



Lain-lain haiwan besar di Sabah seperti gajah, tembadau (kerbau liar) dan rusa juga boleh dilihat di Sabah.  Haiwan ini lebih suka mendiami kawasan tebing sungai serta kawasan tumbuhan sekunder.  

disediakan oleh: 
Ct Nurulyna


No comments:

Post a Comment